Malaysia Melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bermula 18 – 31 Mac 2020

Kerajaan Malaysia memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 Mac 2020, iaitu lusa hingga 31 Mac 2020, di seluruh
negara.

Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 dan diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perintah Kawalan Pergerakan ini meliputi;

1. Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian. Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa
Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.

2. Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self quarantine) selama 14 hari;

3. Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara;

4. Penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz
dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti;

5. Penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara;

6. Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

YAB juga meminta supaya rakyat Malaysia berada dalam keadaan tenang dan tidak panik kerana ia untuk keselamatan kita bersama.

Share:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Social Media

Kemaskini Mingguan​

Langgan Newsletter​